Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Segelintir peniaga ikan di beberapa pasar utama di bandar ini didakwa sengaja menaikkan harga hasil laut itu dengan alasan bekalan sukar diperoleh ketika ini.

Peniaga ikan, Mat Janin Mat Amin, 54, berkata, majoriti peniaga ikan masih menjual hasil laut itu mengikut harga pasaran, hanya segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab menjualnya dengan harga tinggi.

"Saya menjual ikan yang diambil sendiri dari pembekal di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong dan menjualnya pada harga pasaran yang sudah ditetapkan.

"Jadi, kemungkinan besar harga menjadi mahal apabila peniaga terbabit memperoleh bekalan bukan secara terus daripada pemborong atau pembekal," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Mat Janin yang berniaga di Pasar Kubang Pasu, di sini, berkata, ikan cencaru masih dijual RM10 sekilogram dan Selar pula dengan harga RM18 sekilogram, mengikut harga semasa.

Katanya, pemborong biasanya tidak menaikkan harga ketika ikan sukar didapati seperti musim tengkujuh, tetapi mengehadkan kuantiti pembelian berbanding hari biasa.

MAT Janin menunjukkan ikan yang dijual di kedainya di Pasar Kubang Pasu, di sini. FOTO Syaherah Mustafa
MAT Janin menunjukkan ikan yang dijual di kedainya di Pasar Kubang Pasu, di sini. FOTO Syaherah Mustafa

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati beberapa jenis sayur-sayuran mengalami peningkatan harga sekitar RM3 sehingga RM5 sekilogram seperti seperti timun, tomato dan limau nipis.

Peniaga sayur, Zulhakimi Mat, 29, berkata, peningkatan harga berlaku menjelang Tahun Baharu Cina dan biasanya sayur yang terkesan adalah sayur import dari Thailand.

"Biasanya, sayur yang mengalami kenaikan harga adalah yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan.

"Ramai pelanggan mengadu kerana harga naik mendadak, namun apakan daya kerana kami juga menerima sayur-sayuran dengan harga tinggi daripada pemborong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 1:06 PM