Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Kebanyakan peniaga di Pasar Tasek Raja, di sini, terpaksa mengurangkan kuantiti jualan sayur susulan harga borong yang mahal sehingga tiga kali ganda sejak seminggu lalu.

Tinjauan di pasar berkenaan mendapati tiada lagi susunan lambakan sayur kerana peniaga mengakui mereka tidak mampu untuk membeli dengan pemborong, malah ada antara jenis sayur-sayuran yang langsung tidak dijual kerana terlalu mahal.

Salah seorang peniaga, Mohd Afandi Hashim, 52, mengakui terpaksa mengambil keputusan untuk tidak menjual beberapa jenis sayur berikutan kenaikan harga yang sangat tinggi seperti kubis bunga yang dijual pada harga RM18 sekilogram berbanding hanya RM8 sebelum ini.

"Jadi tidak banyak pilihan yang ada di kedai buat masa sekarang, hanya sayur biasa yang masih mampu dibeli oleh orang ramai dijual. Malah kami perlu menerangkan hampir kepada setiap pelanggan jika ada yang merungut akan kenaikan harga ini.

"Selain kubis bunga, cili juga terpaksa dijual sekitar RM13 sekilogram, manakala kubis biasa yang dahulunya dijual RM30 untuk 10 kilogram, kini meningkat kepada RM60. Tiada apa dapat kami lakukan kerana harga borong di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu juga mengalami kenaikan.

"Kami sendiri yang berniaga mengalami masalah dengan pihak pemborong apabila berlaku kenaikan harga mendadak sebegini, apatah lagi pembeli yang ada daripada mereka golongan kurang berkemampuan," katanya ketika ditemui di kedai sayur miliknya di Pasar Tasek Raja, di sini, hari ini.

Bagi Norini Ramli, 52, kenaikan harga kali ini adalah yang paling tinggi selama dia menjadi peniaga sayur sejak 13 tahun lalu dan berharap supaya keadaan segera pulih kerana risau kehilangan pelanggan.

Menurutnya, pelanggan tetap terutama dalam kalangan pengusaha kedai makan antara yang turut terkesan dengan keadaan itu namun tidak ada pilihan lain, terpaksa membeli sayur walaupun pada harga yang tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri ketika dihubungi berkata, pihaknya membuat pemantauan berkala di pasar awam dan pasar raya untuk mengenal pasti isu kenaikan harga sayuran sejak kebelakangan ini.

"Notis berhubung kenaikan juga dikeluarkan kepada peruncit dan pembekal ke atas beberapa item yang dikenal pasti terdapat kenaikan harga bagi mendapatkan penjelasan.

"Bagi meredakan isu ini, KPDNHEP Kelantan turut merancang program Jualan Keluarga Malaysia pada 4 Disember di Lubok Jomg, Pasir Mas, yang mana harga barangan akan dijual lebih murah berbanding hari biasa bagi menangani kos sara hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 3:59 PM
MOHD Afandi dan isterinya, Che Nga menunjukkan antara sayur-sayuran yang dijual di kedainya di Pasar Tasek Raja. FOTO Syaherah Mustafa
MOHD Afandi dan isterinya, Che Nga menunjukkan antara sayur-sayuran yang dijual di kedainya di Pasar Tasek Raja. FOTO Syaherah Mustafa