Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman (tengah) menunjukkan tembika boci yang ditanam penghuni di Penjara Marang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman (tengah) menunjukkan tembika boci yang ditanam penghuni di Penjara Marang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: Penjara Marang menyasarkan pengeluaran 40 tan tembikai diusahakan 15 penghuni di bawah Program Latihan Kemahiran Penghuni Penjara di sepanjang musim pada April ini.

Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman berkata, sebanyak 11 tan tembikai sudah dituai sejak 7 April lalu di tanah berkeluasan 1.6 hektar daripada 6.6 hektar.

"Kami mengusahakan dua jenis tembikai bergred iaitu tembikai boci dan tembikai madu di kawasan tanah pertanian di belakang Penjara Marang.

"Sebanyak RM60,000 hasil jualan dianggar diperoleh daripada tanaman itu bagi tempoh semusim pada tahun ini.

"Sebanyak 11 tan tembikai dituai sebelum ini untuk kegunaan penghuni sendiri selain dijual kepada orang ramai di Pejabat Perusahaan Penjara Marang," katanya selepas melawat ladang tembikai Penjara Marang, di sini, hari ini.

Turut mengiringi lawatan itu Penguasa Penjara Marang, Mohd Nazri Mohamad.

Beliau berkata, projek tanaman tembikai itu dijalankan sejak 10 tahun lalu dan ia antara projek tanaman paling berjaya diusahakan di Penjara Marang.

Menurutnya, tahun lalu, mereka menghasilkan 28 tan semusim dengan perolehan jualan RM25,000.

Katanya, tembikai dijual pada harga RM1.70 sekilogram berbanding harga pasaran semasa RM2 hingga RM2.50 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 6:22 PM