Datuk Seri Fadillah Yusof
Datuk Seri Fadillah Yusof
Mohd Roji Kawi


Kuching : Terusan akan dibina bagi mengalihkan aliran air dari Sungai Sarawak di Sungai Salak dalam usaha mengurangkan risiko banjir di beberapa penempatan penduduk di pinggir bandar raya ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, terusan yang dirancang itu adalah projek fasa kedua bagi mengatasi masalah banjir selepas projek pembinaan baraj yang dilaksanakan dalam fasa pertama sebelum ini.

Menurutnya, ketika ini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak sedang menyediakan reka bentuk terusan berkenaan dan jika peruntukan diperoleh daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi, tender pembinaannya dijangka dikeluarkan tahun depan.

"Pembinaan terusan atau kanal untuk mengalihkan air dari Sungai Sarawak ke Sungai Salak di sini adalah antara kaedah menyelesaikan masalah banjir di Kuching.

"Dengan adanya terusan itu, saluran air akan dipecah dua dan tidak lagi tertumpu di Sungai Sarawak sahaja tetapi ke kawasan lain di Sungai Salak," katanya kepada media selepas menghadiri Program Back2School Petra Jaya, di sini, hari ini.

Fadillah berkata, projek fasa pertama sebelum ini iaitu pembinaan baraj berjaya mengurangkan banjir di penempatan penduduk di tebing Sungai Sarawak kerana pintu baraj itu dapat menghalang kemasukan air laut ketika aur pasang besar.

"Apa yang berlaku sekarang pula ialah masalah pertembungan air hujan lebat di kawasan hulu dengan air pasang besar.

"Ketika itu pintu baraj tidak dapat dibuka kerana bimbang kemasukan air laut namun limpahan air hulu akan berlaku sehingga menyebabkan banjir di beberapa kawasan rendah," katanya.

Pada 2 hingga 5 Mac lalu, beberapa kawasan di Kuching, Bau, Siburan dan Lundu dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan.

Situasi menyebabkan lebih 1,000 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 6:28 PM