Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan RM200 juta bagi membaiki cerun bermasalah di seluruh negara sekali gus mengelak berlaku bencana khususnya ketika musim tengkujuh.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM160 juta diperuntukkan untuk melaksana kerja-kerja di Semenanjung, RM29.6 juta untuk Sabah, RM6.1 juta untuk Sarawak manakala sebanyak RM4.4 juta untuk Labuan.

Fadillah berkata, satu pelan mitigasi juga sudah disediakan bagi menangani masalah cerun khususnya apabila berlaku runtuhan yang menjejaskan keselamatan orang ramai.

"KKR memang ada menyediakan peruntukan khas bagi membaiki cerun bermasalah di seluruh negara dan di Semenanjung sebuah syarikat konsesi sudah dilantik bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan cerun termasuk bagi memantau keadaan kawasan yang dikenal pasti khususnya ketika musim tengkujuh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Menteri Kanan Kerja Raya Bersama Media Bagi Penyampaian Aspirasi KKR Sempena Pengumuman Belanjawan 2022 di sini, hari ini.

Menurutnya, jika peruntukan yang disediakan itu untuk menangani masalah cerun itu tidak mencukupi, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peruntukan kecemasan.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Fadillah berkata, dalam Belanjawan 2022, KKR menerima peruntukan sebanyak RM7.306 bilion.

"Peruntukan untuk pengurusan adalah sebanyak RM823 juta dan ia menurun berbanding sebanyak RM1.26 bilion dalam Belanjawan 2021, namun untuk belanjawan pembangunan pula meningkat sebanyak RM6.483 bilion berbanding RM6.088 bilion pada 2021," katanya.

Mengenai projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Fadillah berkata, ketika ini 10 pakej kerja dari Sematan ke Miri sepanjang 786 kilometer sudah siap hampir 80 peratus dan projek berkenaan dijadual siap sepenuhnya penghujung tahun 2023.

"Namun secara realistik dengan cabaran yang ada terutamanya disebabkan pandemik Covid-19 ada kemungkinan sedikit projek yang akan melangkaui 2023, mungkin siap awal 2024," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 17 projek berimpak tinggi dilaksanakan di Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Projek terbabit ialah pembinaan Jambatan Batang Kemena di Bintulu yang bernilai RM65 juta, pembinaan Jambatan Sungai Limbang (RM115 juta), Jalan Sarawak-Sabah (RM1.13 bilion), jejambat Jalan Medan Jaya-Jalan Tun Hussein Onn di Bintulu (RM146 juta), jalan akses kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (RM147 juta) dan menaiktaraf Jalan Datuk Musa di Samarahan (RM229 juta).

Turut dilaksanakan, projek menaik taraf Jambatan Sungai Gaya di Limbang (RM10 juta), menaik taraf Jambatan Sungai Maragang di Limbang (RM20 juta), menaik taraf Jambatan Sungai Merapok juga di Limbang (RM20 juta) dan projek penggantian Jambatan Batang Lemanak di Lubok Antu (RM23.9 juta).

Projek lain yang dilaksanakan di Sarawak dalam RMK-12 ialah menyiapkan projek Hospital Petra Jaya yang terbengkalai (RM410.3 juta), pembinaan bangunan Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan (RM7.89 juta), pembinaan Sekolah Kebangsaan Pangkalan Kuap di Samarahan (RM25 juta), pembinaan Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan PRIMA di Universiti Malaysia Sarawak (RM485.9 juta), pembinaan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Padawan (RM78.9 juta), pembinaan fasa kedua Institut Kemahiran Islam Sarawak (RM34.2 juta) serta projek pembaikan cerun di Sekolah Menengah Kebangsaan Paku di Bau (RM1.29 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 4:38 PM
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, hadir di Majlis Sesi Libat Urus  Bersama Media Bagi Penyampaian Aspirasi KKR Sempena Pengumuman Belanjawan 2022' di Hotel Waterfront Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, hadir di Majlis Sesi Libat Urus Bersama Media Bagi Penyampaian Aspirasi KKR Sempena Pengumuman Belanjawan 2022' di Hotel Waterfront Kuching. FOTO NADIM BOKHARI