ZAHID diberi penerangan mengenai sistem baraj yang dilaksanakan JPBNS.
ZAHID diberi penerangan mengenai sistem baraj yang dilaksanakan JPBNS.
Oleh Shamran Sarahan


Kuching: Kerajaan bercadang memperkenalkan sistem pengawalan pasang surut sungai atau baraj yang dilaksanakan di Sungai Sarawak, di sini, ke negeri di pantai timur Semenanjung.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kecekapan kerajaan Sarawak mengendalikan penggunaan baraj berkesan mengurangkan risiko banjir terutama di bandar raya Kuching dan sekitarnya.

Beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengemukakan satu memorandum kepada Kabinet untuk membina baraj di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Kerajaan mengakui pengurusan bencana banjir yang dilaksanakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) adalah yang terbaik di negara ini.

“Acuan inilah yang kerajaan dapat pelajari dalam jangka panjang. Penggunaan baraj tidak digunakan di negeri lain, justeru, kita bercadang membinanya kerana ia terbukti berkesan mengurangkan risiko banjir,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Bencana Banjir di Wisma Bapa, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi NADMA berkata, sekalipun pembinaan baraj memerlukan kos yang tinggi, namun ia berkesan mengawal limpahan air sungai ketika musim hujan selain mengimbangi paras air pasang.

“Pengalaman penggunaan baraj yang dipraktikkan JPBNS dalam menangani masalah banjir di negeri ini akan kita laksanakan di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Walaupun pembinaannya dilaksanakan secara berperingkat, namun pengalaman Sarawak cukup bermakna kepada NADMA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 6:13 AM