Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Polis sudah mengambil keterangan ahli perniagaan dan pempengaruh wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian pecah masuk di rumahnya di Padang Balang, di sini, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti suspek terbabit.

"Kes masih baru lagi, kita akan siasat semua kemungkinan dan juga akan memanggil ahli keluarga lain untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Perkembangan terkini berhubung kejadian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,"katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan murid darjah satu kontinjen Kuala Lumpur.

Hadir sama, Pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari, Syed Mohamed Sani Syed Kamarulbahrim.

Semalam media melaporkan wanita terbabit kerugian RM3.5 juta selepas peti besi yang mengandungi jongkong emas dan wang tunai dilarikan dalam kejadian di Padang Balang, Sentul di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, suspek turut melarikan beg tangan pelbagai jenama dalam kejadian antara jam 10 malam dan 12 tengah malam itu.

Katanya, ketika rumah itu dipecah masuk penghuninya tiada di rumah berkenaan.

Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222, hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 5:31 PM
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid menyampaikan ucapan pada Majlis Sumbangan Peralatan Persekolahan Murid darjah satu Kontinjen Kuala Lumpur tahun 2024 di IPK Kuala Lumpur. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid menyampaikan ucapan pada Majlis Sumbangan Peralatan Persekolahan Murid darjah satu Kontinjen Kuala Lumpur tahun 2024 di IPK Kuala Lumpur. FOTO ASYRAF HAMZAH