GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Ahli perniagaan wanita kerugian kira-kira RM3.5 juta selepas rumahnya di Padang Balang, di sini, dipecah masuk, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 10 malam tadi dan laporan dibuat mangsa berusia 43 tahun, hari ini.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah peti besi mengandungi jongkong emas dan wang tunai kira-kira RM3 juta dilarikan penjenayah.

"Selain itu, beberapa beg tangan berjenama dan barangan kemas milik ahli keluarga turut dilarikan dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan kira-kira RM3.5 juta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, suspek dipercayai bertindak merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di rumah mangsa.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 untuk membantu siasatan.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 4:55 PM