Laporan Harian Metro, sebelum ini.
Laporan Harian Metro, sebelum ini.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis menafikan wujud unsur sabotaj susulan insiden pecah masuk dan kehilangan komponen sistem lampu limpah di Stadium Perak, setakat ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata bagaimanapun siasatan masih diteruskan termasuk dengan menghantar beberapa sampel barang kes bagi analisa oleh Jabatan Kimia.

Beliau berkata, kaedah siasatan turut meliputi pengambilan rakaman percakapan terhadap beberapa saksi selain pemeriksaan ke atas premis barangan lusuh.

"Siasatan masih diteruskan. Siasatan setakat ini, tiada unsur sabotaj," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, beliau bagi pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyerahkan sepenuhnya siasatan kes itu kepada polis dengan beliau turut enggan mengulas ketika ditanya pemberita sama ada kejadian itu mempunyai unsur sabotaj.

Terdahulu, pegawai pasukan Perak FC yang enggan namanya disiarkan, dilapor sebuah akhbar sebagai berkata, kabel yang dicuri sangat pendek dan tidak berbaloi sekiranya hendak dijual kembali.

Sumber itu turut memaklumkan, dawai lampu limpah yang dicuri juga tiada tembaga dan langsung tiada harga, sekali gus motif kejadian menjadi tanda tanya sehingga timbul dakwaan insiden itu bertujuan untuk sabotaj Perak FC.

Insiden kes pecah masuk serta kecurian komponen lampu limpah stadium itu pada 14 Februari lalu mengakibatkan jumlah kerugian dianggarkan RM135,000 dengan kejadian turut memaksa kawalan keselamatan di stadium itu kini diperketatkan.

Perak FC akan bertembung Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Perak pada jam 9 malam, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 4:50 PM