TERTUDUH berusia 60 tahun dihukum penjara seumur hidup kerana kesalahan mengedar dadah. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
TERTUDUH berusia 60 tahun dihukum penjara seumur hidup kerana kesalahan mengedar dadah. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Bapa kepada 10 anak dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini kerana mengedar 171.2 gram dadah jenis methamphetamine, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh Talib Akmad, 60, bersalah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 5 Januari 2022.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan tertuduh dikecualikan daripada hukuman sebatan disebabkan faktor umur tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Duncan didakwa mengedar dadah di kawasan 'port' pengedaran dadah di Kampung Air, Lahad Datu, pada 4.39 tengah hari, 5 Januari 2022.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain, sementara tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinke.

Terdahulu, Kamarudin merayu mahkamah agar anak guamnya tidak dikenakan hukuman mati kerana tertuduh mempunyai dua isteri dan 10 anak.

Beliau memohon budi bicara mahkamah untuk mengenakan hukuman penjara, berdasarkan pemansuhan hukuman mati mandatori.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 3:10 PM