MALAYSIA Retail Electronic Cigarette Association (MRECA) menerusi kenyataannya hari ini memohon kerajaan mengkaji semula Generational End Game (GEG) yang diperuntukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang melarang individu dilahirkan selepas 1 Januari 2007 untuk menggunakan vape.

Menurut Presiden MRECA Datuk Adzwan Ab Manas, polisi ini wajar dikaji semula kerana RUU berkenaan bukan sekadar melarang penjualan kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007, malah mereka turut tidak dapat bekerja di mana-mana kedai atau syarikat yang menjual atau mengedar produk vape.

"Ini adalah suatu yang akan membebankan pemain industri nanti dalam mencari pekerja," katanya.

Datuk Adzwan turut berkata, RUU berkenaan menyentuh beberapa tafsiran menyamakan rokok dan vape walaupun kedua-kedua produk itu berbeza.

"Merokok bukannya menggunakan vape tetapi dalam RUU tersebut, penggunaan vape disamakan seperti perbuatan merokok. Ini memberikan mesej tidak tepat kepada pengguna dan orang ramai.

"Malah, kandungan produk vape juga tidak patut ditafsirkan sebagai bahan merokok kerana produk vape atau kandungannya tidak berkaitan dengan rokok," katanya menerusi kenyataan MRECA.

Menerusi kenyataan berkenaan, Datuk Adzwan turut menyarankan kerajaan mengambil langkah membezakan vape dan rokok dalam RUU tersebut yang mana ia adalah sesuatu yang juga dibincang bersama pada sesi libat urus bersama Menteri Kesihatan baru-baru ini.

"Di negara-negara lain seperti New Zealand dan United Kingdom (UK), peraturan dan tafsiran untuk vape adalah berbeza dengan rokok.

"Ini kerana negara tersebut mengambil langkah untuk mengurangkan kemudaratan merokok dengan menjadikan vape sebagai alat berhenti merokok," kata Datuk Adzwan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 5:02 PM