Kawalan penjualan dan penggunaan vape penting bagi melindungi pengguna serta pemain industri. - FOTO Hiasan
Kawalan penjualan dan penggunaan vape penting bagi melindungi pengguna serta pemain industri. - FOTO Hiasan
Hanis Aliaa Hidzir

INDUSTRI rokok elektronik dan vape dilihat kian berkembang sejak lima tahun lalu dengan nilai keseluruhan bernilai RM2.27 billion.

Dengan perkembangan ini, tidak mustahil suatu hari nanti rokok elektronik dan vape bakal menggantikan penggunaan rokok tembakau.

Namun, sehingga kini peraturan serta undang-undang untuk rokok elektronik dan vape tidak dikuatkuasa secara menyeluruh di Malaysia.

Keadaan ini menimbulkan kegusaran memandangkan penggunaan rokok elektronik dan vape semakin meluas dalam kalangan masyarakat.

Hasil tinjauan Harian Metro baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi dan pandangan daripada orang ramai mengenai cadangan pelaksanaan peraturan vape.

Melindungi pengguna

Penjawat awam Ahmad Fikri Hidzir, 36, bersetuju sekiranya peraturan vape secara menyeluruh dilaksanakan di Malaysia.

"Ini bagi memastikan keselamatan jangka masa panjang untuk pengguna vape contohnya cecair vape yang dikeluarkan perlu mematuhi piawaian kesihatan dan tidak mengandungi bahan terlarang," katanya.

Namun, Fikri berpendapat tidak perlu sehingga mengenakan cukai terhadap produk vape memandangkan peratusan pengguna rokok elektronik masih terlalu kecil berbanding perokok tradisional.

Mengawal penjualan, penggunaan

Pengurus pemasaran Anthony Yeap, 40, menyatakan vape adalah alternatif kepada perokok yang ingin berhenti atau mengurangkan pengambilan nikotin melalui rokok tembakau.

"Saya sendiri beralih dari rokok kepada vape bagi mengurangkan pengambilan nikotin melalui rokok meskipun kajian lebih mendalam perlu dilaksanakan untuk membuktikan vape kurang berbahaya," katanya.

Bagi Anthony, cadangan melaksanakan peraturan vape adalah perlu bagi mengawal penjualan dan penggunaannya memandangkan komuniti ini kian berkembang di Malaysia.

Mohd Zaidy Md Salleh, 51, turut mengakui vape menjadi pilihan bagi perokok tegar yang ingin berhenti atau mengurangkan ketagihan merokok.

"Penguatkuasaan undang-undang dan peraturan vape dan cukai sepatutnya perlu diperkenalkan," ujarnya.

Ada baik dan buruk

Bagi penuntut institusi awam Haris Safwan, 22, penetapan peraturan vape adalah perlu namun terdapat kesan baik dan buruk sekiranya cukai dilaksanakan terhadap produk ini.

"Ini boleh menjadi sumber hasil buat negara tetapi harga vape akan meningkat sekali gus menyebabkan sesetengah pengguna vape terkesan dengan peningkatan tersebut.

"Sementara itu, ianya juga bagus kerana dapat membendung pelajar sekolah daripada mendapatkan vape dengan mudah," katanya.

Ruangan khas

Pereka dalaman Dalila Abdullah, 29, pula berkata perlu untuk menyediakan ruangan khas di lokasi awam buat pengguna vape.

"Penerimaan masyarakat terhadap vape sama seperti rokok. Justeru, ada baik jika disediakan ruangan khas untuk pengguna vape demi keselesaan orang lain seperti yang dilaksanakan di Jepun," ujarnya.

Merangsang ekonomi

Bagi jurutera Ammar Afiq Hakimi, 32, vape dan rokok elektronik digunakan secara meluas yang membabitkan kesihatan dan keselamatan pengguna.

"Perlu ada undang-undang yang jelas dan menyeluruh berkenaan produk vape terutama dari segi kandungan nikotin dalam cecair vape," katanya.

Dari perspektif penjualan pula, Ammar Afiq berpendapat peraturan dan kawalan vape dapat membantu mengembangkan industri ini sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

"Suatu hari nanti vape mungkin bakal menggantikan rokok tembakau justeru dengan penguatkuasaan peraturan vape, perniagaan ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Alternatif lebih baik

Ditanya mengenai vape dan rokok konvensional dari sudut kesihatan, pengamal perubatan, Dr Arifin Fii, berkata kedua-dua produk mempunyai risikonya yang tersendiri.

Bagaimanapun, kata Dr Arifin, vape atau rokok elektronik adalah alternatif jauh lebih kurang risiko bagi mereka yang cuba berhenti merokok atau mencari pilihan kurang mudarat.

"Terdapat banyak kajian di luar negara seperti di United Kingdom (UK) menunjukkan vape 95 peratus kurang mudarat berbanding rokok biasa.

"Justeru, bagi pengamal perubatan seperti saya, kami percaya vape boleh dijadikan alternatif untuk merawat ketagihan nikotin dalam jangka masa panjang," katanya.

Mengulas lanjut kenyataan itu, Dr Arifin merujuk kepada satu kajian dijalankan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) pada 2015.

Hasil kajian menunjukkan hanya 10 daripada 70 peratus responden yang berhasrat untuk berhenti merokok berjaya berhenti sepenuhnya.

Justeru kata Dr Arifin, inovasi produk vape jika dikawal selia dengan baik oleh kerajaan pasti memberi lebih manfaat dalam usaha mengurangkan masalah perokok tegar.

Sementara itu, Dr Arifin turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan cukai berkadar ke atas semua produk vape di negara ini.

Selain membantu menjana ekonomi, beliau percaya pelaksanaan cukai mendorong pemain industri menambah baik kualiti produk sekali gus mengurangkan risiko lain yang tidak diingini.

Kesimpulannya, vape berkemungkinan mempunyai risiko lebih rendah berbanding rokok tetapi kajian mengenainya perlu lebih banyak dilakukan bagi membuktikan keberkesanannya.

Namun, penyelesaian terbaik adalah tidak mengamalkan kedua-duanya dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 1:45 PM