GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Baru berusia 15 tahun, remaja lelaki ini sudah mencatat rekod jenayah apabila ditahan polis bersabit kes curi motosikal jemaah yang bersolat Subuh di Masjid Felda Sungai Tengi, di sini.

Remaja yang berhenti sekolah itu ditahan pasukan polis daripada Balai Polis Terong, Perak pada 10.30 malam, kelmarin di Batu 13, Terong.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, dalam soal siasat, remaja itu mengaku mencuri Yamaha Y15 yang ditinggalkan bersama kunci di masjid berkenaan pada waktu Subuh, Sabtu lalu.

"Pemilik motosikal iaitu lelaki berusia 39 tahun menyedari kenderaannya hilang pada 6.55 pagi selepas selesai solat.

"Pada mulanya, polis sukar menjejaki suspek. Namun dengan bantuan maklumat dan risikan, kita berjaya menahannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek kini direman selama tiga hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 8:27 PM