GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Mohd Nasaruddin Parzi


Bangi: Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, satu pengumuman mengenai tempoh dan tarikh pelaksanaannya akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Beliau berkata, bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak pun terjejas, sementara penjawat awam baru itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Apa yang sudah dibincangkan dalam Kebinet tadi, bahawa terdapat kekeliruan daripada kenyataan bahawa jawatan atas pengambilan baru kerajaan adalah perjawatan kontrak. Ia tidak bermaksud begitu.

"(Tapi) kontrak untuk satu tempoh singkat sebelum Kabinet meluluskan dasar baru pengambilan secara tetap tapi tidak berpencen. Iaitu mereka akan mencarum kepada KWSP dan kerajaan akan memberikan sumbangan sebagaimana lazim dilakukan kepada kakitangan swasta.

"Mana-mana yang layak, juga diberikan sumbangan Perkeso. Sebab itu langkah jangka panjangnya, penjawat awam yang baharu akan diambil cara begitu. Tapi yang sedia ada sekarang masih diteruskan, tetap dan berpencen. Saya ingin jelaskan, itu yang baru saja (tiada pencen)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Lawatan Kerja Timbalan Perdana Menteri ke Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) di sini hari ini.

Beliau berkata, pendirian itu dibuat kerajaan selepas menilai bahawa menjelang 2040, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, jumlahnya akan mencecah RM120 bilion setahun.

"Tentunya ini akan memberikan bebanan jangka panjang kepada kerajaan khususnya Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) apabila portfolionya besar kemungkinan tidak mampu untuk membuat pelaburan bagi memberikan dividen atau pulangan sepatutnya," katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam ketika ini sedang menerajui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA), yang akan menjadi dasar baru kerajaan khususnya berkaitan kaedah berpencen penjawat awam.

Ketika ini, semua penjawat diberi dua skim pencen pilihan sama ada untuk menerima bayaran pencen tetap sebulan selepas berpencen atau mencarum di KWSP.

Minggu lalu, Laporan Interim 1 Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sudah pun diserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KKPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 6:28 PM