GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Guna Mykad palsu sejak 39 tahun lalu dan menikmati pelbagai kemudahan seperti warganegara Malaysia termasuk memiliki lesen memandu.

Kelicikan lelaki disyaki warga Filipina itu berakhir apabila dia ditangkap dalam operasi bersepadu cegah jenayah syariah dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka bersama Pejabat Agama Islam Daerah Alor Gajah di sebuah rumah di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, Alor Gajah.

Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman berkata, operasi bersepadu itu dijalankan pada 14 Februari lalu, jam 10.15 malam.

Menurutnya, suspek berusia 56 tahun itu ditahan selepas mengemukakan dokumen meragukan berupa sijil lahir, lesen memandu dan salinan Mykad atas nama 'Awang Sidik'.

"Suspek malah mengaku Mykad itu adalah kepunyaannya dan dia adalah pemilik sebenar. Namun pegawai JPN Melaka menahannya dan dibawa ke pejabat JPN Negeri Melaka untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan mendapati dia menggunakan Mykad orang lain sejak berumur 17 tahun yang mana ia diberikan oleh bapanya dan digunakan sehingga kini," katanya dihubungi di sini, semalam.

Norazle berkata, selama 39 tahun menggunakan MyKad palsu, lelaki itu menggunakan pelbagai keistimewaan warganegara termasuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan mendapatkan lesen memandu.

"Suspek juga melangsungkan perkahwinan dengan warga Malaysia dan didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah Alor Gajah menggunakan Mykad palsu itu.

"Ketika disoal status warganegaranya, suspek berkeras menyatakan dia orang Sabah, namun dia 'kalah' apabila kita tunjuk dokumen jabatan yang tidak merujuk kepadanya.

"Kita syak dia warga Filipina yang lahir di Sabah namun 'kosong' kerana ibu bapanya bukan warga Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, Norazle berkata, lelaki itu dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Isnin lalu dan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan maklumat palsu mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Katanya, hukuman itu diputuskan Majlistret Nurul Bahiyah Kamaluddin selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh serta menimbangkan fakta kes serta hujah Pegawai Pendakwa JPN Melaka, Muhamad Azuan Muhamad Yasir yang menjalankan pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 2:49 PM