MRT
MRT
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Kerajaan bersetuju meneruskan semula Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang mulai pertengahan tahun ini, selepas ditangguhkan oleh kerajaan terdahulu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yang mengendalikan projek berkenaan perlu mengemukakan kajian terperinci mengenai pelaksanaan projek itu.

"MRT Corp diberi tempoh tiga bulan untuk menyiapkan dan memulakan kajian yang dibuat secara menyeluruh untuk dibentangkan kepada jemaah menteri sebelum diluluskan pelaksanaannya.

"Secara umum, kita berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan oleh MRT Corp untuk projek MRT2 yang sedang dilaksanakan ketika ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan operasi MRT Laluan Putrajaya di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abd Rahim Bakri, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, Timbalannya Normah Osman, Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Kerajaan Datuk Dr Amiruddin Muhamed, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd Datin Norlia Noah.

Ka Siong turut dibawa menaiki tren bermula dari Stesen MRT Sri Damansara Sentral di Bandar Sri Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur.

Projek MRT3 adalah kesinambungan projek infrastruktur mega yang dilaksanakan kerajaan iaitu MRT dan MRT2 untuk rangsangan ekonomi membabitkan jajaran sepanjang 40 kilometer.

Mengulas mengenai MRT Laluan Putrajaya Fasa I, Ka Siong berkata, projek sepanjang 17.5 kilometer yang menghubungkan Stesen MRT Kwasa Damansara ke Kampung Batu sudah siap 97 peratus dan dijadualkan mula beroperasi pada Ogos ini.

"Fasa 1 jajaran ini merangkumi 12 stesen membabitkan tempoh perjalanan selama 24 minit sehala.

"Baki jajaran dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral yang merangkumi 24 stesen pula sudah mencapai 87 peratus dan dijangka siap pada Januari 2023," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian juga akan mengadakan sesi libat urus Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 2:41 PM