SUKARNO (dua, kanan) menunjukkan set komputer yang dirampas dalam serbuaan di dua unit kondominium di Taman Wahyu kelmarin. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil.
SUKARNO (dua, kanan) menunjukkan set komputer yang dirampas dalam serbuaan di dua unit kondominium di Taman Wahyu kelmarin. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sindiket penipuan pekerjaan yang mengaut keuntungan mencecah $AS3,000 (RM14,293.50) sehari tumpas selepas dua unit kondominium di Taman Wahyu, Jinjang di sini, diserbu polis.

Serbuan dilakukan kelmarin, selepas mendapati kediaman itu dijadikan pusat panggilan serta markas operasi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, lapan individu ditahan dalam serbuan itu termasuk remaja berusia 16 tahun.

Katanya, siasatan mendapati sindiket beroperasi di kediaman berpengawal itu sejak awal Januari lalu, dengan menyasarkan mangsa di United Kingdom (UK).

"Mereka menghantar pesanan ringkas secara rawak melalui WhatsApp yang mempunyai pautan iklan pekerjaan dalam talian menggunakan nombor telefon UK," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, mangsa yang berminat akan diminta membalas mesej berkenaan dan diberi pautan bagi mendaftar akaun Globesailor V88.

Katanya, mangsa kemudian diarah menyelesaikan tugasan seperti like iklan pakej percutian dan membuat bayaran deposit menggunakan wang kripto USDT.

"Mangsa ditawarkan komisen berjumlah 0.5 peratus hingga 5 peratus bagi setiap setiap tugasan yang berjaya, manakala sindiket akan memberikan resit yang diubah suai untuk meyakinkan mangsa bahawa bayaran komisen sudah dilakukan," katanya.

Menurutnya lagi, dalam serbuaan itu pihaknya merampas sembilan set komputer, telefon bimbit (19), penghala internet (dua), modem (dua), anak kunci (satu) dan kad akses ke premis.

"Kesemua suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat dari orang ramai berkaitan

dengan aktiviti 'calling centre' ini disalurkan ke IPD Sentul di talian 0340482222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 12:53 PM