FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Tidak mahu ikut rakan ponteng sekolah dipercayai punca seorang pelajar tingkatan tiga dibelasah di Jalan Prima Pelangi 7, Bukit Prima Pelangi Segambut, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa jam 5.33 petang semalam dan menahan seorang suspek lelaki berusia 15 tahun jam 1.22 pagi tadi.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada mangsa tidak mahu mengikut suspek ponteng sekolah.

"Ekoran itu suspek tidak berpuas hati dan memaksa mangsa menaiki motosikal dan dibawa ke lokasi kejadian berhampiran Kondominium Villa Orkid, di sini.

"Suspek kemudiannya memukul mangsa berkali-kali di bahagian muka, dada dengan menggunakan helmet," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular satu klip video memaparkan seorang pelajar sebuah sekolah menengah memakai pakaian sukan sekolah sedang memukul rakanya sambil dirakam oleh individu lain.

Mengulas lanjut Ahmad Sukarno berkata, pihaknya merampas helmet jenis MS88 yang disyaki digunakan semasa kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

"Jika disabit kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan sehingga 10 tahun, denda atau sebatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 4:39 PM