FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Keadaan trafik di lebuh raya utama di seluruh negara dilapor terkawal setakat 9.30 pagi ini, susulan pengumuman tol percuma sempena Tahun Baharu China.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik lancar di kedua-dua hala sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dari ibu negara hingga Karak, sejak 6 pagi sehingga 9 pagi ini.

Sementara itu, trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dilaporkan terkawal, walaupun berlaku kemalangan di beberapa kawasan menyebabkan pergerakan perlahan.

Plus berkata, trafik perlahan arah Utara dari Tapah ke Gopeng dan satu kemalangan berlaku di persimpangan Sungai Petani (S) arah Utara dari Bertam ke Sungai Petani (S).

Kemalangan turut dilaporkan berlaku di Kilometer (KM) 3.5 arah selatan dari Kempas ke Persimpangan Dato' Onn tidak menghalang mana-mana lorong namun menyebabkan trafik perlahan.

Insiden kemalangan turut dilaporkan di KM 10 Lebuhraya Plus arah utara dari Shah Alam ke Subang, serta sebuah lori dilaporkan rosak di KM 22.1 dari arah Bukit Lanjan ke Kota Damansara.

Pada masa sama, Smartlane diaktifkan bermula KM 27.8 hingga KM 19.1 arah selatan dari Kulai ke Senai (U) bagi melancarkan trafik.

LLM mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa fokus kepada pemanduan, menjaga jarak dan patuhi arahan yang diberikan petugas lebuh raya dan papan tanda di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 10:09 AM