PENDUDUK dan guru bergotong-royong membaiki jalan yang rosak. FOTO Ihsan Pembaca
PENDUDUK dan guru bergotong-royong membaiki jalan yang rosak. FOTO Ihsan Pembaca
Amir Hamzah Nordin


Jerantut: Jalan tanah berlubang dan berlumpur di Kampung Bukit Cincin dan Kampung Semena dekat Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling menyebabkan penduduk dan guru di situ mengambil inisiatif membaik pulih jalan yang rosak itu.

Mereka bergotong-royong hanya menggunakan cangkul dan tenaga empat kerat untuk membaik pulih jalan rosak untuk ke jalan utama bagi kemudahan orang ramai dan murid sekolah.

Penduduk Kampung Mat Daling, Wan Shamsuddin Wan Yasin berkata, keadaan jalan rosak kira-kira empat kilometer kerap berlaku selepas hujan lebat, keadaan lebih teruk ketika musim tengkujuh.

"Beginilah keadaan orang kampung di situ hadapi sejak dahulu lagi, kesusahan penduduk di sini berdepan kesukaran untuk keluar ke bandar termasuk kanak-kanak untuk ke sekolah seperti tidak dihiraukan.

"Kesukaran dihadapi menyebabkan penduduk di sini keluar beramai-ramai bergotong-royong membaik pulih laluan ini setiap kali selepas hujan, sekali gus mencerminkan masyarakat yang bersatu padu dan sentiasa cakna dengan kekurangan kemudahan di situ," katanya.

Seorang lagi penduduk, Wan Rosli Wan Stapa melalui akaun Facebook miliknya menulis, sudah menjadi kebiasaan penduduk di kawasan itu bergotong-royong memperbaiki jalan yang daif berkenaan.

Berdasarkan perbualan menerusi ruangan komen, terdapat segelintir warga maya dipercayai penduduk kampung sama meluahkan kekecewaan apabila mendapati kemudahan jalan asas di kawasan itu masih tiada sebarang penambahbaikan sejak merdeka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 4:46 PM