Penduduk Orang Asli Pos Bihai bergotong royong membaiki jalan rosak menuju ke Pos Bihai. FOTO Ihsan Penduduk
Penduduk Orang Asli Pos Bihai bergotong royong membaiki jalan rosak menuju ke Pos Bihai. FOTO Ihsan Penduduk
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Lebih 30 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di beberapa kampung di Pos Bihai bergotong-royong membaiki jalan rosak akibat hujan lebat.

Penduduk Kampung Piyel, Kampung Chemal dan Kampung Bihai Lama menggunakan batu sungai untuk diletakkan di kawasan lopak air yang dalam dan boleh menyebabkan tayar kenderaan tersangkut.

Penduduk Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud, 39, berkata, penduduk terpaksa bergotong-royong memunggah batu sungai yang jaraknya hampir satu kilometer dari kawasan jalan rosak.

Katanya, penduduk sepakat membaiki jalan kerana hanya itu jalan utama yang digunakan untuk keluar dan masuk ke pos.

"Kami sepakat membaiki jalan ini bagi membolehkan kenderaan keluar masuk ke perkampungan.

"Tambahan pula apabila musim hujan, jalan menjadi semakin rosak, jadi sebelum tibanya musim tengkujuh kami cuba membaiki jalan ini dengan kudrat yang ada," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Penduduk, Anjang Angah, 35, berkata, mereka mengeluarkan duit sendiri untuk membeli guni bagi mengisi batu sungai.

"Kami berpakat mengisi batu sungai di dalam guni dan membawanya menggunakan pacuan empat roda untuk diletakkan di kawasan jalan yang rosak.

"Jika usaha ini tidak dilakukan, susah penduduk keluar dari kampung. Kenderaan atau motosikal akan tersangkut dalam lopak yang dalam.

"Hujan setiap petang lebih memburukkan keadaan jalan, jadi perlu ada usaha untuk membaikinya," katanya.

Terdahulu media melaporkan hampir 1,000 penduduk Pos Bihai berharap aktiviti lasak menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4x4) dapat dihentikan terutama pada musim hujan bagi mengelakkan laluan ke pos berkenaan rosak.

Penduduk mendakwa aktiviti yang dilakukan secara berkumpulan itu sudah merosakkan satu-satunya jalan perhubungan di perkampungan mereka sehingga sukar keluar membeli barangan keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 4:11 PM