GURU dan penduduk di kawasan perkampungan Orang Asli di SK Lenjang, bergotong royong membaiki jalan yang rosak bagi membolehkan murid kembali ke sekolah tanpa masalah esok. FOTO Roselan Malek
GURU dan penduduk di kawasan perkampungan Orang Asli di SK Lenjang, bergotong royong membaiki jalan yang rosak bagi membolehkan murid kembali ke sekolah tanpa masalah esok. FOTO Roselan Malek
Roselan Ab Malek

GURU dan penduduk di kawasan perkampungan Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Lenjang, Lipis bergotong-royong membaiki jalan rosak teruk dan becak bagi ia dilalui apabila murid kembali ke sekolah, esok.

Guru Besar SK Lenjang, Nordin Mohd Noor berkata, kerja itu dilakukan bersama penduduk kampung sejak tiga hari lalu membabitkan beberapa laluan rosak teruk dan ditakungi air.

"Sekolah ini mempunyai 25 guru dan sebahagian sibuk membuat persiapan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) apabila sekolah kembali dibuka mulai esok manakala sebahagian lagi bergotong-royong membaiki jalan rosak teruk.

"Kami mempunyai 395 murid dan hanya 180 orang tinggal di asrama manakala yang lain tinggal bersama ibu bapa dan paling jauh satu kilometer dari sekolah," katanya.

Nordin berkata, walaupun jalan itu sudah ditender untuk jalan baru dari Betau ke Lenjang, pihaknya tidak pasti bila projek berkenaan akan dimulakan dan kebanyakan guru menggunakan motosikal atau kenderaan pacuan empat roda untuk ke bandar Kuala Lipis atau menghadiri mesyuarat.

Malah, katanya, sudah menjadi perkara biasa apabila guru terjatuh dari motosikal di laluan licin khususnya selepas hujan untuk ke Kuala Lipis atau sebaliknya.

SK Lentang terletak 70 kilometer dari bandar Kuala Lipis membabitkan 15 kilometer jalan balak dan 13 kilometer jalan berturap yang pecah dan rosak.

"Hari ini hari terakhir 15 guru dan 13 wakil Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) bergotong-royong membaiki jalan ini setelah melakukannya sejak tiga hari lalu.

"Kami mengorek tanah kawasan berselut dan berair sebelum meletakkan pasir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 9:07 PM