Ketua Menteri Chow Kon Yeow. FOTO Mikail Ong
Ketua Menteri Chow Kon Yeow. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Ketua Menteri Chow Kon Yeow menafikan kerajaan Pulau Pinang mengambil sikap lepas tangan dalam menguruskan bantahan penduduk berhubung cadangan membangunkan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar.

EXCO Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi itu berkata, pendirian kerajaan negeri adalah mematuhi lunas undang-undang yang tidak menyekat pemilik daripada mengemukakan permohonan merancang di tanah masing-masing.

"Pendirian kerajaan negeri adalah mematuhi lunas undang-undang dan kita tidak boleh melarang tuan tanah mengemukakan permohonan dan ia akan dipertimbangkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

"Jadi, proses itu perlu dilalui mengikut undang undang, garis panduan serta sebagainya dan walaupun diluluskan akan membawa dengan pelbagai syarat untuk dipatuhi sebelum projek boleh dimulakan.

"Tidak betul kata pihak kerajaan negeri lepas tangan sebab permohonan sedang dipertimbangkan oleh satu agensi kerajaan iaitu MBPP," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Razak (KOMTAR) hari ini.

Terdahulu, Chow memaklumkan sudah mengadakan pertemuan bersama wakil jawatankuasa bertindak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz serta Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhamad Bakhtiar Wan Chik, pagi ini.

Beliau maklum mereka hanya membantah lokasi projek asrama dan bukannya konsep pembinaan asrama pekerja yang menjadi keperluan undang-undang di Malaysia.

"Perkara ini diserahkan kepada pihak pencadang atau pemaju dan jawatankuasa bantahan untuk ambil tindakan sewajarnya.

"Bagi pihak kerajaan negeri untuk projek ini, walaupun mereka sudah kemukakan permohonan kebenaran merancang tanah permohonan ini masih dalam pertimbangan dan tidak diluluskan.

"Manakala satu lagi projek (asrama pekerja asing) berdekatan juga juga di Teluk Kumbar sudah diluluskan kebenaran merancang tetapi ada syarat yang perlu dipatuhi dan projek ini masih belum mula pelaksanaannya," katanya.

Terdahulu, seramai 50 individu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar, Prof Datuk Dr Muhammad Idiris Saleh berhimpun secara aman di luar pintu masuk pejabat pentadbiran kerajaan negeri di KOMTAR.

Muhammad Idiris ketika ditemui pemberita meluahkan rasa kecewa apabila kerajaan negeri gagal memberi kata putus berhubung cadangan projek terbabit.

"Ketua Menteri berkata perkara itu perlu dibincangkan dalam Mesyuarat Exco sebelum sebarang keputusan diumumkan.

"Tindakan kerajaan negeri memberi ruang kepada pihak pemaju berunding terus dengan penduduk juga tidak sesuai.

"Pemaju dilihat mahu meneruskan projek dengan meminta pihak bantahan memberikan jumlah penempatan warga asing yang sesuai.

"Sedangkan kami sudah nyatakan dengan jelas bahawa Teluk Kumbar bukan lokasi sesuai bagi pembinaan asrama warga asing walau berapa pun jumlahnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 5:13 PM