KON Yeow menerima memorandum bantahan pembinaan asrama pekerja warga asing yang diserahkan Azrul Mahathir di Pejabat Kerajaan Negeri di sini. FOTO  ihsan Buletin Mutiara
KON Yeow menerima memorandum bantahan pembinaan asrama pekerja warga asing yang diserahkan Azrul Mahathir di Pejabat Kerajaan Negeri di sini. FOTO ihsan Buletin Mutiara
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang akan mengkaji cadangan penduduk supaya pembinaan tiga asrama warga asing di sekitar Bayan Lepas, di sini, dipindahkan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, beliau sudah menerima memorandum bantahan pembinaan itu daripada penduduk.

Katanya, kerajaan negeri berterima kasih kepada penduduk atas keprihatinan mereka terhadap projek berkenaan.

"Memorandum bantahan itu akan diserah kepada anggota dewan eksekutif negeri yang bertanggungjawab, agensi perancang negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

"Penyerahan itu supaya pihak berkenaan dapat meneliti isi kandungannya secara menyeluruh," katanya di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata demikian selepas menerima memorandum bantahan berkenaan diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz yang mewakili penduduk di Pejabat Kerajaan Negeri Pulau Pinang Kompleks Tun Abdul Razak, di sini.

Sementara itu, Azrul Mahathir berkata, penduduk merayu kepada kerajaan negeri supaya mempertimbangkan bagi memindahkan projek asrama pekerja yang dicadangkan dari kawasan berkenaan.

Katanya, kebimbangan penduduk tempatan mempunyai asas kuat bagi menolak cadangan itu.

"Penduduk Sungai Batu dan Teluk Kumbar di Bayan Lepas sudah mengemukakan petisyen mereka baru-baru ini untuk diserahkan kepada kerajaan Pulau Pinang.

"Justeru, kami meminta kerajaan negeri bagi mempertimbangkan supaya memindahkan projek asrama pekerja yang dicadangkan ke lokasi lain," katanya.

Azrul Mahathir berkata, dalam pertemuan itu, Ketua Menteri juga maklumkan bahawa cadangan projek berkenaan masih di peringkat Zon Semula dan ia masih belum sampai ke peringkat MBPP mahupun kelulusan.

"Kita berharap cadangan asrama warga asing itu dipindahkan atau dibina di luar kawasan penempatan penduduk sedia ada bagi mengurangkan kesan buruk seperti banjir, masalah sosial, ekonomi dan kesihatan, kehijauan bumi dan faktor keselesaan warga setempat.

"Ia lebih sesuai dibina di tanah besar dan saya juga tidak menafikan kepentingan asrama pekerja bagi meneruskan sektor perkilangan yang menjadi tonggak ekonomi Pulau Pinang," katanya lagi.

Terdahulu Harian Metro melaporkan cadangan pembinaan tiga projek asrama bagi menempatkan seramai 50,000 pekerja warga asing di sini, oleh pihak swasta yang mendapat bantahan penduduk setempat.

Projek berkenaan didakwa sudah dimulakan apabila Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebelum ini dipanggil dalam mesyuarat secara dalam talian mengenai cadangan itu.

Pembinaan asrama pekerja warga asing itu dirancang dibina di Lot 1435 dan 1437 di Bagan Teluk Kumbar; Lot 1859, 1860 dan 1865 Tingkat Teluk Kumbar serta Lot 236 dan 284 Mukim 11 Bukit Belah, Sungai Batu, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 12:13 PM