GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Butterworth: Kerajaan Pulau Pinang belum memuktamadkan perancangan membina asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jason H'ng Mooi Lye.

Beliau berkata, ini kerana Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) yang dikemukakan pemaju pada 27 Jun lalu masih dalam pertimbangan biarpun projek itu sudah mendapat kelulusan Jawatankuasa Perancang Negeri.

Menurutnya, penilaian secara terperinci perlu dilakukan merangkumi pelbagai aspek termasuk reka bentuk dan susun atur sebelum kelulusan diberikan untuk memulakan pembinaan.

"Saya difahamkan, Penilaian Impak Sosial (SIA) telah pun dibuat dengan turut melibatkan komuniti setempat bagi mendapatkan input serta pandangan daripada mereka berkenaan projek ini.

"Selain SIA, setiap permohonan perlu melalui beberapa penilaian lain termasuk Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi mengenal pasti sama ada tapak itu sesuai untuk pembinaan atau sebaliknya," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu di Ampang Jajar, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung bantahan oleh penduduk berkaitan rancangan pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar yang dirancang pada 30 Disember ini.

Jason bagaimanapun berkata, pihaknya memahami kebimbangan penduduk terhadap kesan projek berkenaan terutamanya membabitkan keselamatan.

Pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) 27 November lalu, beliau memaklumkan anggaran 32,680 pekerja warga asing akan ditempatkan di Teluk Kumbar berdasarkan kelulusan yang diperakukan Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang.

Ia membabitkan pembinaan satu blok bangunan asrama pekerja setinggi 27 tingkat terdiri daripada ruang kedai enam unit di aras satu, kemudahan rekreasi di aras satu dan dua dan 512 unit asrama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 3:44 PM