Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (PEMIKIR) serta penduduk Teluk Kumbar dan Sungai Batu terus membantah sekeras-kerasnya cadangan pembinaan asrama pekerja asing di tiga lokasi di Bayan Lepas di sini yang dibimbangi menimbulkan masalah sosioekonomi kepada masyarakat setempat.

Pengerusi PEMIKIR, Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata, beliau turut kesal apabila segala permintaan, rayuan dan permohonan berhubung isu pembinaan asrama pekerja asing yang disuarakan sebelum ini tidak mendapat perhatian kerajaan negeri.

Katanya, penduduk sekitar kawasan itu sudah membuat bantahan pada Oktober tahun lalu dan menghantar memorandum kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz yang wakil rakyat berkenaan ada memaklumkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Namun sehingga kini segala yang dilakukan tidak dihiraukan dan kerajaan negeri perlu menjelaskan apakah status pembinaan asrama pekerja asing itu pada ketika ini.

"Penduduk membantah cadangan pembinaan asrama pekerja asing ini kerana terlalu banyak isu akan timbul khususnya aspek keselamatan serta pencemaran bunyi dan udara selain menjejaskan sosioekonomi penduduk tempatan.

"Lagipun di mana logiknya membina asrama pekerja asing bagi menempatkan 30,000 sehingga 50,000 pekerja atau apa-apa jumlah pun, sedangkan tiada kawasan perindustrian baru di situ dan apa motif kerajaan negeri sebenarnya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Difahamkan, kerajaan negeri akan membina tiga asrama pekerja asing di Sungai Batu dengan keluasan 2.8 hektar, dan di Teluk Kumbar, masing-masing dengan keluasan 4.78 hektar dan 1.4 hektar.

Dr Muhamad Farid menunjukkan tapak cadangan pembinaan asrama warga asing ketika sidang media di Teluk Kumbar di sini. FOTO DANIAL SAAD
Dr Muhamad Farid menunjukkan tapak cadangan pembinaan asrama warga asing ketika sidang media di Teluk Kumbar di sini. FOTO DANIAL SAAD

Muhamad Farid berkata, bantahan turut disuarakan kerana bimbang pergerakan keluar masuk bas kilang akan menyebabkan kesesakan lalu lintas memandangkan laluan jalan raya yang sedia ada kecil dan tidak dinaik taraf sejak sekian lama.

"Apabila wujud asrama pekerja asing sudah tentu banyak bilangan bas akan masuk dan lalu di sini yang ia pastinya akan mengganggu kehidupan penduduk serta menggugat keselamatan khususnya pelajar sekolah," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Farid berkata, nilai hartanah di kawasan sekitar juga akan mengalami susut nilai kerana peningkatan indeks jenayah yang dijangka berlaku akibat kebanjiran warga asing.

"Ambil contoh pembangunan di Relau dan di Taman Nagasari, Juru yang mengalami susut nilai kerana menjadi penempatan warga asing. Kita tidak mahu ia menjadi begitu di sini."

Sementara itu, Pengerusi Kariah Teluk Kumbar Datuk Dr Muhammad Idiris Saleh , berkata beliau masih menunggu maklum balas dari kerajaan negeri selepas menyuarakan perkara berkenaan dalam demonstrasi yang diadakan tahun lalu.

Katanya, kapasiti warga asing yang tinggi dari penempatan asrama warga asing itu akan menyebabkan jumlahnya hampir menyamai pengundi setempat.

"Justeru, kerajaan negeri perlu mengambil maklum balas daripada penduduk setempat di lapangan sebelum membuat sebarang ketetapan," katanya.

Pada Oktober tahun lalu, cadangan pembinaan tiga projek asrama pekerja warga asing oleh pihak swasta mendapat bantahan penduduk setempat apabila mereka bimbang ia akan mengundang pelbagai masalah pada masa depan selain menjejaskan kualiti hidup penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 5:49 PM