Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Angkara seekor lembu, seorang penunggang motosikal tidak sedarkan diri manakala kereta dipandu seorang lelaki pula terbakar.

Kejadian itu berlaku apabila dua kenderaan berkenaan terbabit dalam kemalangan dengan haiwan itu di Kilometer 112.6 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 5.40 pagi itu, lembu berkenaan yang terlepas masuk ke lebuh raya pada mulanya dilanggar kereta dipandu seorang lelaki.

Pelanggaran itu menyebabkan lembu berkenaan tercampak ke lorong kiri dan ketika itu seorang penunggang motosikal tidak sempat berhenti sebelum dia merempuh haiwan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, impak daripada rempuhan kuat itu menyebabkan kereta berkenaan terbakar manakala penunggang motosikal pula masih sedarkan diri.

"Siasatan mendapati pemandu kereta berusia 26 tahun mengalami kecederaan ringan manakala penunggang motosikal berusia 32 tahun belum sedarkan diri.

"Pemeriksaan lanjut mendapati semua mangsa dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke Sungai Petani," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lembu itu mati akibat dua rempuhan terbabit manakala kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Zaidy berkata, pemeriksaan mendapati pemandu kereta berasal dari Alor Setar manakala penunggang motosikal pula berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

"Ketika kemalangan cuaca dilaporkan dalam keadaan baik namun jalan di kawasan itu agak gelap kerana tiada lampu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 1:28 PM