AIDIL dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku cabul kanak-kanak dalam tandas masjid. FOTO Alias Abd Rani
AIDIL dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku cabul kanak-kanak dalam tandas masjid. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Seorang penganggur yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kanak-kanak lelaki dalam tandas masjid di Simpang Renggam, minggu lalu.

Muhamad Aidil Mohamad Zailani, 24, yang didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan itu, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di sebuah masjid di Simpang Renggam, Kluang pada jam 1 petang, 26 Januari lalu.

Hukuman bagi kesalahan ini adalah, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Kejadian itu terbongkar selepas mangsa memberitahu ibu saudaranya kenapa dia enggan ke masjid kerana ada 'seorang lelaki gemuk, berkulit gelap' melakukan perbuatan itu terhadapnya.

Ibu saudara mangsa kemudian menceritakan perkara itu kepada ibu kandung kanak-kanak terbabit sebelum mereka membuat laporan dibuat di Balai Polis Simpang Renggam.

Bertindak atas laporan itu, polis berjaya menahan tertuduh sehari selepas kejadian untuk siasatan lanjut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan serta satu sebatan dan pada masa sama, mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling selaras dengan Seksyen 26 akta sama.

Selain itu, mahkamah juga menggunapakai Seksyen 27 akta sama iaitu memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selamat setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 1:46 PM