Mohd Amin Jalil


BEKAS kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini terhadap 64 pertuduhan berkaitan kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii, mengurung, mencederakan, ugut dan menyimpan video serta gambar lucah seorang wanita.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Tahir Ayub, 57, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Tertuduh didakwa dengan 11 pertuduhan merogol seorang mangsa wanita berusia 37 tahun antara 4 Jun hingga 14 Jun lalu.

Mohd Tahir didakwa mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan.

Lelaki berkenaan turut berdepan 48 pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang sama antara 29 Mei hingga 18 Jun lalu.

Selain itu, tertuduh juga didakwa melakukan pemerasan dan mendatangkan ketakutan terhadap mangsa dengan mahu menyebarkan video dan gambar bogel wanita berkenaan hingga mendorongnya menyerahkan harta sebanyak RM3,000 pada 9 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut berdepan dakwaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dengan menggigit dada, tangan, kaki dan seluruh badan mangsa pada 3 Jun lalu.

Mohd Tahir didakwa mengurung mangsa selama 12 hari iaitu antara 28 Mei hingga 8 Jun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan.

Mohd Tahir (baju hitam) diiring anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Tahir (baju hitam) diiring anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin

Tertuduh turut didakwa menakutkan secara jenayah terhadap mangsa dengan ugutan hendak menyebabkan kematian dan kebinasaan hartanya pada 1 Jun lalu serta didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Haji Sulaiman, Pancang di Rembau.

Selain itu, tertuduh turut berdepan kesalahan mengikut Seksyen 292(A) Kanun Keseksaan kerana didapati memiliki video dan gambar lucah mangsa di dalam kad memori telefon bimbitnya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Atiqah Sapari manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Imran Mohamad Farok.

Sementara itu, Muhamad Imran merayu kepada mahkamah supaya memberikan jaminan yang rendah terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh baharu kehilangan kerja.

Menurutnya, jaminan tidaklah perlu membentuk satu hukuman tetapi memberi gambaran pada mahkamah yang tertuduh akan hadir sepanjang kes berjalan.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM306,000 bagi kesemua pertuduhan terhadap tertuduh dan menetapkan 26 Ogos ini bagi sebutan semula kes.

Tertuduh juga diminta melaporkan diri di Balai Polis Rembau pada waktu yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 4:54 PM