Mohd Amin Jalil


KAKITANGAN syarikat penyelenggaraan lebuh raya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini terhadap dakwaan merogol adik tiri sejak 2018 ketika mangsa berusia 14 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 21 tahun didakwa dengan lima pertuduhan rogol itu mengaku tidak bersalah terhadap empat tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa dan satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, pemuda berkenaan didakwa kali pertama merogol seorang remaja perempuan yang juga adik tirinya berusia 14 tahun di sebuah rumah di Rembau pada 7 September 2018.

Tertuduh kemudiannya didakwa melakukan perkara yang sama beberapa kali di tempat yang sama dengan kejadian terbaharu pada 20 Jun lalu pada 2 pagi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Tertuduh dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
Tertuduh dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norsyazwani Ishak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Norsyazwani kemudiannya memohon agar jaminan tidak dibenarkan dengan mengambil kira hubungan kekeluargaan antara mangsa dan tertuduh.

Tertuduh kemudiannya merayu jaminan rendah dibenarkan kepadanya dengan alasan pendapatan bulanannya yang rendah selain menanggung keluarga termasuk ibu dan bapa yang kurang sihat.

Hakim kemudiannya membenarkan ikat jamin keseluruhan sebanyak RM32,000 dengan seorang penjamin dan turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan atau Balai Polis Daerah Rembau sehingga sebutan semula kes pada 11 Ogos nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 5:51 PM