MOHD Irwan (kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM1 juta kepada wakil pemenang, Aznul Haidi Mohd Azmi, 59, iaitu adik kepada Mohd Azrin. FOTO Aziah Azmee
MOHD Irwan (kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM1 juta kepada wakil pemenang, Aznul Haidi Mohd Azmi, 59, iaitu adik kepada Mohd Azrin. FOTO Aziah Azmee
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Rezeki tidak salah alamat buat jururunding, Azrin Mohd Azmi yang menjadi jutawan segera selepas terpilih sebagai pemenang hadiah kategori cabutan hadiah utama akaun pelaburan i-Rizq Plus Bank Rakyat.

Kemenangan itu melayakkan Azrin, 60, membawa pulang wang ganjaran RM1 juta sekali gus menjadi jutawan pertama produk akaun pelaburan sulung Bank Rakyat yang diperkenalkan pada Julai 2022.

Menurut Azrin, dia tidak menyangka akan terpilih sebagai pemenang dan bersyukur dengan rezeki ditetapkan Allah SWT buatnya.

"Alhamdulillah, satu rahmat, saya tak jangka (menang cabutan bertuah) kerana melabur sebab tertarik dengan termanya yang fleksibel dan potensi keuntungannya.

"Tak pernah terlintas di fikiran saya akan menang hadiah besar dan yang pasti akan melabur pada masa hadapan," katanya dalam satu video ditayangkan selepas majlis penyampaian hadiah di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman yang membuat serahan kepada wakil pemenang, Aznul Haidi Mohd Azmi, 59, iaitu adik kepada Azrin.

Hadir sama, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Sementara itu, Mohammad Hanis berkata,akaun pelaburan i-Rizq Plus diperkenalkan pada Julai 2022 dan Bank Rakyat memperuntukkan RM5.8 juta untuk keseluruhan hadiah cabutan bertuah bagi simpanan akaun pelaburan i-Rizq Plus Bank Rakyat.

Mohammad Hanis berkata, sebanyak 35,000 akaun sudah melanggan dalam simpanan pelaburan i-Rizq Plus Bank Rakyat setakat 31 Disember lalu dengan nilai pelaburan RM202 juta dan pihaknya menyasarkan RM100 juta tahun ini.

"Akaun pelaburan i-Rizq Plus Bank Rakyat antara langkah kita untuk mempelbagaikan produk yang ada di Bank Rakyat selain akaun simpanan dan semasa

"Ia berkonsepkan mudarabah dan patuh syariah. Insya-Allah akan datang ada lagi kepelbagaian produk pelaburan dan simpanan juga aset," katanya.

Sempena program itu, Bank Rakyat turut meraikan pemenang cabutan hadiah utama lain bagi Januari 2024 iaitu Datuk Amirul Rahman Abdul Rahim, 50, dari Selangor yang memenangi tempat kedua dan membawa pulang hadiah emas seberat 500 gram.

Manakala, Rohaya Mohammad, 39, diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dengan menerima peratusan keuntungan dividen saham yang diisytiharkan selama lima tahun berdasarkan nilai saham berjumlah RM100,000 berserta hadiah wang tunai RM10,000 bagi tahun pertama.

Sementara tempat keempat dimenangi oleh Mohamad Faiz Ibrahim, 34, dari Sabah yang menerima peratusan keuntungan dividen saham diisytiharkan selama lima tahun berdasarkan nilai saham berjumlah RM50,000 berserta hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 bagitahun pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 12:39 PM