GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Rakyat buat julung kalinya menganjurkan Karnival Rumah Impian sebagai inisiatif bagi menggalakkan pemilikan rumah sendiri dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan pembeli rumah kali pertama.

Karnival itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Februari ini dari 10 pagi hingga 10 malam bertempat di Hall 2, iOi Grand Exhibition and Convention Centre, Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, 20 pemaju hartanah terkemuka serta agensi kerajaan turut terbabit, termasuk Perbadanan PR1MA Malaysia, Sime Darby Property Berhad, MKH Berhad, Titijaya Land Berhad, S P Setia Berhad dan UEM Sunrise Berhad.

Katanya, Bank Rakyat menyarankan orang ramai untuk menghadiri karnival ini, khususnya kumpulan sasaran yang menghadapi dilema untuk membeli rumah idaman mereka agar memanfaatkan kemudahan yang disediakan termasuk pelbagai pilihan jenis kediaman dengan harga mampu milik serta promosi dan tawaran menarik daripada Bank Rakyat.

"Lebih istimewa, Bank Rakyat turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM120,000 kepada pelanggan yang melanggan Pembiayaan Perumahan-i Bank Rakyat sepanjang 16 Januari hingga 30 April 2023.

"Menerusi kempen ini, pemenang tempat pertama bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000, manakala bagi pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi wang tunai berjumlah RM40,000 dan RM30,000," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, pelbagai aktiviti dan perkhidmatan turut disediakan sepanjang Karnival Rumah Impian ini berlangsung, termasuk program cabutan bertuah Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat, perkhidmatan cucian emas, pameran kenderaan nasional, pertandingan mewarna, permainan realiti maya dan banyak lagi.

Di samping itu, Dr Mohammad Hanis menyeru orang ramai untuk hadir ke karnival ini bagi memanfaatkan tawaran kadar keuntungan yang lebih rendah dengan kemudahan penyusunan semula pembiayaan mereka melalui pembiayaan semula atau 'refinance' bagi mengurangkan komitmen bulanan sedia ada.

"Walaupun kadar dasar semalaman (OPR) berubah-ubah berdasarkan persekitaran ekonomi domestik, sektor hartanah dijangka akan masih mengekalkan nilainya dalam jangka masa panjang.

"Pembeli hartanah 'subsale' ini juga tidak perlu memikirkan mengenai risiko rumah lambat siap atau isu terbengkalai kerana ia sudah siap dibina.

"Orang ramai boleh mengunjungi Karnival Rumah Impian anjuran Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembelian rumah baharu, 'subsale' atau pun 'refinance' menerusi pakej Pembiayaan Perumahan-i Bank Rakyat," katanya.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.bankrakyat.com.my atau hubungi Pusat Panggilan di talian 1-300-80-5454 serta kunjungi mana-mana cawangan Bank Rakyat yang berdekatan.

From: Kartika

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 6:11 PM