Saad Razali mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan cek milik Koperasi Peneroka Felda Selancar 3 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Saad Razali mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan cek milik Koperasi Peneroka Felda Selancar 3 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Bekas Pengerusi Koperasi Felda Selancar 3, Pahang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini atas 15 pertuduhan memalsukan cek bernilai RM34,450 milik Koperasi Peneroka Felda Selancar 3 antara 2019 hingga 2021.

Tertuduh, Saad Razali, 67, didakwa memalsukan dokumen menggunakan nama individu berbeza antara 27 September 2019 hingga 18 Oktober 2021.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah bank di Segamat dengan secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu cek bank milik Koperasi Peneroka Felda Selancar 3 Pahang Berhad.

Dia didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen terbabit adalah palsu.

Tertuduh didakwa memalsukan cek bernilai antara RM650 hingga RM5,000.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh yang mengangguk faham pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Noraida Sulaiman turut mengaku bersalah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abduk Mutalif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rifah Izzati mencadangkan mahkamah untuk membenarkan tertuduh diikat jamin dengan syarat dengan seorang penjamin, melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terdekat dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga keputusan mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM14,000 dengan syarat tambahan termasuk tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Segamat sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan 25 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk bagi bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Terdahulu, tertuduh yang memberi salam kepada hakim turut memohon supaya diringankan hukuman kerana hanya bekerja sebagai peneroka dengan pendapatan sederhana serta memiliki tanggungan termasuk empat cucu bersekolah.

Tertuduh juga menyatakan bakal menjalani pembedahan dan perlu menjalani rawatan di hospital.

Saad juga minta untuk berehat seketika di kamar mahkamah kerana mengadu pening kepala dan kurang sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 1:08 PM