Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Pegawai Perkhidmatan Pendidikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas tuduhan menerima wang tunai RM5,000 daripada seorang kontraktor pada 2020.

Tertuduh, Abdul Samad Amara, 44, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada pemilik sebuah syarikat dalam kereta Perodua Myvi di Taman Univila, di sini, pada 11 September 2020.

Tertuduh juga mengetahui lelaki itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya selaku Ketua Unit Infrastruktur Dan Pembangunan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau bagi Kerja-Kerja Baik Pulih dan Penyelenggaraan di Sekolah Kebangsaan Balung, Tawau berjumlah RM223,247.00 yang dianugerahkan kepada syarikat individu itu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Nurul Izzati Sapifee.

Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM5,000, sebelum tertuduh merayu jaminan rendah kerana sedang 'cuti belajar' selain menanggung isteri dan tiga anak berusia dua hingga 16 tahun.

Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM5,000 (deposit RM3,000) dengan seorang penjamin tempatan, menyerahkan pasport, melapor diri ke SPRM dan dilarang mendekati saksi-saksi pendakwaan.

Abu Bakar kemudian menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh penyerahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 2:46 PM