GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Cubaan wanita warga asing meragut rantai leher warga emas berhampiran Kuil Batu Caves, di sini, semalam gagal selepas dia ditangkap orang awam yang kemudian menyerahkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan itu pada 5 petang.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berusia 64 tahun bersama dua cucunya berusia 15 dan 17 tahun sedang berjalan, dan ditolak suspek sebelum rantai lehernya ditarik.

"Ketika itu terdapat saksi awam yang melihat kejadian. Saksi menjerit menyebabkan suspek yang berusia 45 tahun melepaskan rantai yang ditarik, dan ia putus serta jatuh di atas jalan.

"Suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap dengan bantuan orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata, suspek diserahkan kepada polis dan akan direman di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Yap Chin Chua di talian 019-996 9469 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222 untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan menjaga keselamatan harta masing-masing ketika mengunjungi Kuil Batu Caves sempena Thaipusam hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 8:44 AM