Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Seramai 1,300 anggota serta pegawai polis akan bertugas memantau keselamatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sempena Thaipusam di Kuil Sri Subramanian, Batu Caves, di sini, yang bermula esok hingga 21 Januari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, jumlah keanggotaan itu termasuk 318 anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik yang akan memantau aliran trafik di sekitar Batu Caves.

"Kami juga akan dibantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

"Selain itu, kami turut dibantu Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Zainal berkata, sebanyak tujuh jalan akan ditutup di sekitar kuil berkenaan bermula jam 7 malam esok hingga 12 tengah malam, 21 Januari ini.

Zainal (tengah) menunjukkan pas khas kemasukan ke kawasan kuil pada sambutan Thaipusam. FOTO OWEE AH CHUN.
Zainal (tengah) menunjukkan pas khas kemasukan ke kawasan kuil pada sambutan Thaipusam. FOTO OWEE AH CHUN.

"Antara laluan yang ditutup adalah persimpangan lampu isyarat Kampung Melayu, susur dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke kuil Batu Caves dan Jalan Batu Caves lama ke pintu utama kuil.

"Selain itu, persimpangan lampu trafik Sri Batu Caves (SBC), persimpangan Jalan 8/ Jalan Batu Caves lama, susur MRR2 dari Sri Gombak ke susur Perusahaan dan Jalan Perusahaan ke kuil Batu Caves turut ditutup," katanya.

Beliau berkata, aktiviti keagamaan sempena Thaipusam adalah tertakluk kepada SOP ditetapkan Kementerian Perpaduan Negara.

"Pihak pengurusan kuil akan menyediakan tiga jenis pas untuk melakukan ritual keagamaan merangkumi pas masuk (penganut), pas sembahyang dan pas paal koodam (pembawa belangga susu).

"Jumlah kehadiran di kuil berkenaan tidak boleh melebihi had 6,000 orang setiap hari, manakala upacara membawa kavadi tidak dibenarkan.

"Kompaun akan dikeluarkan terhadap individu didapati melanggar SOP yang ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 1:25 PM