Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Hampir dua juta pengunjung membanjiri Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini, sepanjang sambutan Thaipusam yang bermula dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, setakat ini kawalan lalu lintas berjalan lancar, namun dilaporkan berlaku kesesakan di sesetengah lokasi terkawal.

"Kesesakan itu biasa berlaku kerana jumlah pengunjung yang tinggi. Kita menganggarkan hampir dua juta pengunjung sudah hadir ke kuil berkenaan.

"Sehingga kini polis mengeluarkan 63 saman lalu lintas atas pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainal berkata, pengunjung dinasihatkan tidak menghalang laluan utama hingga menyebabkan kenderaan lain tidak dapat melalui laluan berkenaan.

"Pengunjung diminta untuk meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan, ada antara pengunjung yang degil dan meletakkan kenderaan sehingga mengganggu lalu lintas.

"Polis menggunakan budi bicara, namun jika ianya menyebabkan ketenteraman awam terganggu, saman perlu dikeluarkan," katanya.

Sebanyak tujuh laluan di daerah ini ditutup sempena perayaan Thaipusam iaitu persimpangan lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves dan Jalan Batu Caves lama ke pintu utama Kuil Batu Caves.

Selain itu, simpang tiga lampu isyarat hadapan stesen minyak Shell Batu Caves, simpang tiga Jalan SBC 8, Jalan lama Batu Caves, susur keluar MRR2 dari Sri Gombak hala susur Jalan Perusahaan Batu Caves dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 2:07 PM
Penganut agama Hindu menaiki 272 anak tangga Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves bagi menunaikan upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam ketika tinjauan hari ini. FOTO BERNAMA
Penganut agama Hindu menaiki 272 anak tangga Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves bagi menunaikan upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam ketika tinjauan hari ini. FOTO BERNAMA