Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (dua kanan) bersama Datuk Seri Mohd Yusri Hassan (tiga kanan) menunjukan sebahagian barangan yang dirampas  berhubung dengan kes tangkapan sindiket penipuan pelaburan D'Luxe Crypto Trading ketika sidang media di  IPK Perak. FOTO L. MANIMARAN
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (dua kanan) bersama Datuk Seri Mohd Yusri Hassan (tiga kanan) menunjukan sebahagian barangan yang dirampas berhubung dengan kes tangkapan sindiket penipuan pelaburan D'Luxe Crypto Trading ketika sidang media di IPK Perak. FOTO L. MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: 55 individu 'terselamat' daripada menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dagangan matawang kripto Sabtu lalu.

Ini berikutan polis berjaya menyerbu dan menahan 11 individu ketika seminar mengenai pelaburan itu berlansung di sebuah hotel, di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komerisal (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata serbuan dikendalikan sebelah malam 20 Januari itu menahan 11 individu berusia antara 30 hingga 50 tahun termasuk dua lelaki warga Filipina.

Katanya, serbuan dijalankan sepasukan polis dari JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hasil risikan dan penyamaran terhadap sindiket penipuan yang menganjurkan seminar pelaburan urusniaga matawang kripto menggunakan 'Crypto AI Trading Bot'.

"Sindiket dikesan mempromosikan tawaran skim pelaburan itu awal bulan ini dengan menggunakan nama D'Luxe.

"Ia menawarkan skim pelaburan dalam urusniaga matawang kripto kepada 55 peserta seminar terbabit berusia antara 40 hingga 60 tahun.

"Pelbagai pakej urusniaga kripto dengan nilai antara ASDT20 hingga ASDT10,000 ditawarkan dengan pulangan antara 0.5 peratus hingga 2.2 peratus setiap hari mengikut kadar modal yang dilaburkan.

"Sindiket itu mendakwa sistem robot menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang diwujudkan menerusi platform dalam talian akan membantu pelabur mendapatkan keuntungan secara mudah dan cepat.

"Peserta yang hadir tidak begitu memahami cara urusniaga kripto serta tidak menyedari bahawa platform yang diwujudkan itu sebenarnya adalah perangkap.

"Manakala 11 yang ditahan termasuk dua wanita tempatan berperanan sebagai penganjur, penaja, penceramah, serta ejen mencari pelanggan," katanya dalam sidang media sempena kejayaan operasi itu di perkarangan IPK Perak, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Ramli berkata sindiket itu turut memperdayakan mangsanya dengan menyewa kenderaan mewah iaitu kereta jenis Ford Mustang Shelby GT500 serta Mercedes-Benz C 300 AMG.

Menurutnya, semua 11 yang ditahan, menjalani tempoh tahanan reman sehingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 420 / 511 Kanun Keseksaan iaitu kerana cubaan menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 9:42 PM