JAUTEH ketika sesi dialog bersama Adun Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin
JAUTEH ketika sesi dialog bersama Adun Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Usaha membanteras aktiviti jenayah di negeri bukan hanya terletak di bahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata, tetapi ia memerlukan kerjasama semua pihak.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian menangani jenayah di negeri ini perlu dilakukan bersama.

Katanya, inisiatif mengadakan program bersama PDRM dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dilihat dapat memberikan kesan positif untuk kesejahteraan rakyat dan negeri ini.

"PDRM boleh mendapatkan maklumat mengenai isu-isu masyarakat melalui suara wakil rakyat daripada program yang dilaksanakan bersama.

"Melalui maklumat yang diterima, kita akan cuba berbincang dan menangani isu berkenaan secara langsung," katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra PDRM Sabah bersama Adun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Beliau berkata, masalah jenayah, dadah dan kemalangan jalan raya adalah topik paling banyak dibincangkan dalam sesi dialog yang diadakan ini.

"Kebanyakan wakil rakyat mengemukakan isu jenayah termasuklah remaja yang terbabit dalam aktiviti tidak sihat seperti dadah, scammer dan sebagainya.

"Justeru, kita akan mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi dialog bersama pemimpin di peringkat daerah sekurang-kurangnya dua kali setahun," katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sesi dialog bersama PDRM ini banyak memberi input yang baik kepada kedua-dua pihak.

Katanya, banyak perkara yang dikemukakan oleh wakil-wakil rakyat berkaitan isu yang menjadi tanda tanya selama ini.

"Kita mahukan setiap wakil rakyat dapat memberikan maklumat di kawasan masing-masing kepada pihak polis untuk dibincangkan bersama.

"Selain itu, ia sesi perjumpaan ini juga dapat memberi pengetahuan kepada semua wakil rakyat mengenai status dan tanggungjawab PDRM yang sebenarnya," katanya.

Masidi yang juga Adun Karanaan berkata, semua wakil rakyat diminta supaya bekerjasama dengan PDRM dalam membanteras jenayah di setiap daerah.

"Apa pun isu yang timbul dalam kalangan masyarakat perlu ditangani bersama terutamanya membabitkan aktiviti jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 5:33 PM