DUN Sabah. FOTO arkib NSTP
DUN Sabah. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membentangkan belanjawan pertamanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, esok.

Pembentangan belanjawan oleh Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Sabah, Datuk Hajiji Noor itu dijadualkan pada 3 petang.

Ia kemudian disusuli sesi perbahasan belanjawan oleh wakil rakyat, Isnin hingga Rabu minggu depan.

Belanjawan kali ini dijangka memperincikan usaha kerajaan negeri memulihkan ekonomi dan membantu rakyat yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Persiapan akhir sebelum pembentangan belanjawan itu disempurnakan semalam oleh Hajiji bersama Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun serta Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Jasni Daya.

Proses itu yang dibuat di pejabat Kementerian Kewangan negeri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS), di sini, turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Rusdin Riman dan Penasihat Kewangan kepada Ketua Menteri, Datuk Peter Thien.

GRS membentuk kerajaan negeri selepas memperolehi majoriti mudah dengan 38 kerusi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16, pada 26 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 10:43 AM