Mahaizura Abd Malik


Bangi: Pekebun kecil persendirian kelapa sawit boleh mula membuat permohonan kepada Agrobank bagi mendapatkan geran dan pembiayaan penanaman semula tanaman mereka yang mencapai usia tua.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, permohonan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula itu dibuka sejak 15 Januari lalu adalah inisiatif kerajaan dalam menyediakan dan memperkenalkan dana khusus bagi penanaman semula sawit untuk pengusaha khususnya pekebun kecil persendirian.

Katanya, dana RM100 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024, Oktober lalu akan memanfaatkan pekebun kecil sawit persendirian dengan jumlah keluasan 5,900 hektar ladang.

"Dana disediakan terdiri daripada komponen geran 50 peratus dan sebahagian lagi 50 peratus pembiayaan kepada pekebun kecil persendirian.

"Penyaluran dana bagi kedua-dua komponen geran dan pembiayaan ini akan disalurkan sepenuhnya pihak Agrobank.

"Bagaimanapun, bayaran balik pemohon hanya membabitkan 50 peratus termasuk dua peratus faedah daripada jumlah keseluruhan dana yang disalurkan," katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB di Ibu Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini, hari ini.

Beliau berkata, dianggarkan kira-kira 26 peratus pekebun kecil daripada 5.65 juta hektar ladang kelapa sawit seluruh negara.

"Semua tahu daripada 5.65 juta hektar kita ada 26 peratus pekebun kecil.

"Kita anggarkan 74,000 hektar pokok tua pekebun kecil persendirian, jadi ini semua kita hendak tengok bagaimana mahu tingkatkan pengeluaran kelapa sawit," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulan Kadir berkata, menerusi permohonan itu, pekebun kecil persendirian Semenanjung layak menerima RM14,000 satu hektar manakala RM18,000 untuk pekebun Sabah dan Sarawak.

"Daripada segi kelayakan atau pemilikan tanah mereka tidak melebihi 65 hektar untuk pemohon Semenanjung dan Sabah Sarawak tidak melebihi 10 hektar.

"Kelayakan hanya 65 hektar saja dan proses permohonan dibuat Agrobank dan MPOB akan turun padang bagi memastikan sama ada pokok itu sudah tua atau tidak produktif seperti penyakit dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 3:19 PM
Johari menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Tahun 2023 yang diadakan di Ibu Pejabat MPOB. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Johari menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Tahun 2023 yang diadakan di Ibu Pejabat MPOB. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN