GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya.

Tertuduh yang berusia 31 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya yang ketika kejadian berusia 11 tahun dua bulan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di daerah ini, jam 8.30 malam pada Oktober 2019.

Tertuduh turut didakwa mengulangi kesalahan sama di lokasi sama pada Jun 2022 dan 8 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 18 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Riffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 2:11 PM