Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya, tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 21 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 10 tahun di sebuah rumah di daerah ini antara Januari hingga Mac 2020.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 27 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 2:55 PM
Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK