Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Majlis Townhall 7 Tahun Bersama Abang Jo, di Hikmah Exchange Event Centre Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Majlis Townhall 7 Tahun Bersama Abang Jo, di Hikmah Exchange Event Centre Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Datuk Seri Anwar Ibrahim harus dikekalkan sebagai Perdana Menteri bagi memimpin Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh penggal Parlimen.

Saranan itu disuarakan Tan Sri Abang Johari Abang Openg dalam Sesi Townhall 7 Tahun Bersama Premier Sarawak di Hikmah Exchange di sini malam ini.

Abang Johari berkata, jika Anwar ditukar pada pertengahan penggal, beliau yakin akan banyak lagi usaha untuk menukar kerajaan akan berlaku selepas itu.

Menurutnya, keutamaan sekarang harus difokuskan untuk memastikan politik negara stabil bagi memulihkan ekonomi negara dan memastikan rakyat menikmati kesejahteraan.

"Kalau Anwar, Perdana Menteri sudah di sana (menerajui Kerajaan Perpaduan), biarkanlah sampai habis.

"Kerana ketentuan kerajaan mengikut amalan demokrasi ialah apabila pilihan raya diadakan, apa keputusannya biarlah sampai habis," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab yang dikendalikan oleh Sayed bersama Munawar Sayed Mustar bersama dua lagi moderator, Profesor Datuk Dr Siva Pandian dan Mona Abdul Manap.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta semua pemimpin kanan Kabinet Sarawak.

Abang Johari berkata, jika kerajaan sekarang ditukar selepas tempoh hanya setahun mentadbir, beliau percaya politik negara akan terus bergoncang.

"Selepas itu akan ada macam-macam (istilah) seperti tebuk ataplah, masuk jendela lah dan mungkin ada juga tebuk lantai pula nanti.

"Akhirnya yang menjadi mangsa ialah rakyat seluruh negara," katanya.

Justeru katanya, Sarawak terus berpegang kepada pendirian untuk menyokong kerajaan sedia ada bagi mengukuhkan kestabilan politik Malaysia.

Menurutnya lagi, beliau masih hairan mengapa Gabungan Parti Sarawak (GPS) dikaitkan dengan Langkah Dubai sedangkan mereka langsung tidak mengetahuinya.

"Memang ada pemimpin GPS iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Timbalan Premier Sarawak) berada di Dubai kerana bercuti di sana.

"Dia tidak berjumpa sesiapa (seperti yang didakwa) di sana, jadi macam manalah GPS boleh dikaitkan, termasuk mendakwa saya akan dipilih sebagai Perdana Menteri," katanya.

Menurutnya lagi, GPS tahu kedudukan mereka dalam Parlimen yang hanya memiliki 23 ahli dan tidak mungkin beliau bertahan lama jika dipilih menerajui kerajaan yang dibentuk hasil Langkah Dubai itu.

"Dengan jumlah Ahli Parlimen yang hanya 23 orang, pasti akan ada tekanan kepada saya pula nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 11:10 PM