GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

George Town: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan tahap kedua pemulihan bekalan air bermula dari 6 pagi hari ini dengan pengepaman optimum air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke bahagian pulau negeri itu.

PBAPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan PBAPP menyasarkan untuk memulihkan bekalan air kepada 495,065 pengguna menjelang 6 pagi esok (13 Januari).

"Pengguna yang berhampiran dengan Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar akan mendapat bekalan air terlebih dahulu seterusnya bekalan akan diperluaskan ke luar dan ke selatan ke arah kawasan di daerah Barat Daya.

"Ini adalah selaras dengan urutan pemulihan yang ditetapkan selepas setiap kali LRA Sungai Dua 'dimulakan semula' dan PBAPP akan terus memberi kemas kini mengenai proses pemulihan tahap kedua hari ini," menurut kenyataan itu.

Tahap kedua melibatkan 495,065 pengguna atau 84 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan di bahagian pulau.

PBAPP dalam kenyataan itu turut memaklumkan tahap satu pemulihan bekalan air membabitkan 197,025 pengguna atau 33 peratus daripada pengguna terjejas di Seberang Perai telah selesai.

Tahap ketiga iaitu pemulihan bekalan air membabitkan 99.5 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan di bahagian pulau belum selesai dan dijangka pulih sepenuhnya menjelang 6 pagi Ahad (14 Januari).

"Tahap keempat pula pemulihan bekalan air bagi baki 0.5 peratus daripada pengguna terjejas di kawasan kejiranan hujung paip agihan (EoL) dan tanah tinggi di kawasan selatan bahagian pulau dijangka selesai juga pada 6 pagi Ahad nanti," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pengujian dan pengoperasian semula secara beransur-ansur saluran paip dasar Sungai Perai yang siap dibaiki semalam juga sudah selesai.

Sungai Perai adalah lokasi terakhir daripada keseluruhan 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang yang menjalani kerja pembaikan sampingan selain kerja utama mengganti dua unit injap 1,200 milimeter (mm) di LRA Sungai Dua.

Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula 6 pagi Rabu namun sekurang-kurangnya 101 kawasan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam.

Sebanyak 157 kawasan membabitkan Daerah SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau pula akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 10:04 AM