CHARLES Santiago ketika melawat Projek Baik Pulih Paip Pembetungan di Jalan SS15/4, Subang Jaya. FOTO Amirudin Sahib.
CHARLES Santiago ketika melawat Projek Baik Pulih Paip Pembetungan di Jalan SS15/4, Subang Jaya. FOTO Amirudin Sahib.
Nur Elysa Amirah Suhaimi


Subang Jaya: Sebanyak RM2.74 juta diperuntukkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) bagi kerja membaik pulih paip pembetungan di sepanjang Jalan SS15/4 dan Jalan SS15/8, di sini.

Pengerusi Span, Charles Anthony Santiago, berkata, peruntukan itu akan menggunakan dana Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (KWSMP).

"Kerja-kerja menaik taraf dan penggantian paip sudah bermula awal Januari lalu dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

"SPAN sudah menjalankan siasatan dan bekerjasama dengan Indah Water Konsortium (IWK) mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi kawasan ini sekitar 20 tahun lalu.

"Dalam tempoh antara 30 hingga 40 tahun lalu, mereka masih menggunakan paip bersaiz 150 milimeter (mm) dan disebabkan faktor populasi serta kegiatan ekonomi yang giat membangun, paip terbabit akan diganti dengan saiz sebesar 225 mm," katanya ketika melakukan lawatan di tapak projek baik pulih paip pembetungan di Jalan SS15/4, di sini, hari ini.

Menurutnya, projek baik pulih ini juga akan membabitkan penggantian 12 lurang kumbahan (manhole).

"Salah satu faktor pemendapan paip pembetungan adalah minyak sehingga berlaku pencemaran bau kemungkinan penularan wabak penyakit berjangkit.

"SPAN dan IWK komited untuk memastikan projek ini berjalan lancar dan memastikan keberkesanan kualiti kerja kontraktor dengan pemantauan rapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 2:23 PM