FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh perjanjian konsesi dengan syarikat pembetungan dan pengurusan sisa kumbahan, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd selama 12 tahun lagi iaitu sehingga 31 Disember 2034.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perjanjian dijadual berakhir 31 Mac 2022 itu dilanjutkan berdasarkan prestasi cemerlang IWK dalam menguruskan aset utama sistem pembetungan di negara ini, membabitkan lebih 7,000 loji rawatan kumbahan serta menyelenggara paip pembetungan sepanjang 22,000 kilometer (km).

Beliau berkata, IWK turut diminta untuk menyelenggara kira-kira 1.3 juta tangki septik individu serta lebih 800,000 tangki tandas tradisional dan jumlah aset berkenaan meningkat hampir 10 kali ganda berbanding konsesi awal dimeterai pada 1990-an.

"Cabaran utama IWK adalah memastikan semua aset pembetungan beroperasi secara optimum dan pada masa sama perlu sentiasa menaik taraf sistem dan aset dengan kos efisien, teknologi yang efektif dan piawaian baharu," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu secara maya, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, sejak IWK mula beroperasi pada 1993, tarif perkhidmatan pembetungan kepada pengguna masih kekal sama dan tidak pernah disemak semula.

Beliau berkata, secara realiti, purata kos penyelenggaraan sistem pembetungan bagi setiap premis bersambung adalah kira-kira RM17 sebulan berbanding tarif semasa iaitu antara RM2 hingga RM8 sebulan.

"Berdasarkan kajian dijalankan, semakan tarif perkhidmatan pembetungan wajar dipertimbangkan secara teliti bagi mengimbangi kos penyelenggaraan aset telah lama, peningkatan tarif elektrik dan kemunculan ancaman baharu jenayah alam sekitar lebih rencam.

"Oleh itu, IWK memerlukan sumber kewangan stabil melalui pelan operasi perniagaan mampan di samping bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan.

"Kelestarian sumber air dan kesihatan awam sangat bergantung kepada keupayaan kewangan IWK dalam melaksanakan tanggungjawabnya," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, selain pelanjutan tempoh konsesi, perjanjian tambahan akan ditandatangani itu turut merangkumi pelaksanaan aktiviti perniagaan bukan berasaskan tarif oleh IWK.

"Contohnya, penghasilan air pulih guna daripada bi-produk pembetungan agar dapat dibekalkan kepada industri sebagai sumber air alternatif.

"Pindaan perjanjian konsesi membolehkan IWK meneroka pelbagai potensi perniagaan lain berkaitan perkhidmatan pembetungan seperti penggunaan baja bagi tumbuhan bukan makanan dan pajakan kecil tanah pembetungan untuk sewaan kepada menara telekomunikasi, penghasilan tenaga solar atau kabel fiber optik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 2:26 PM