PEMBUKAAN aktiviti ekonomi secara berperingkat dapat memastikan pelanggan IWK daripada sektor komersial beroperasi seperti biasa.
PEMBUKAAN aktiviti ekonomi secara berperingkat dapat memastikan pelanggan IWK daripada sektor komersial beroperasi seperti biasa.

Kuala Lumpur: Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menyifatkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang melalui empat peringkat pemulihan membantu dalam perancangan perniagaan syarikat khususnya apabila aktiviti ekonomi dapat dibuka secara berperingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, pembukaan aktiviti ekonomi secara berperingkat ini dapat memastikan pelanggan IWK daripada sektor komersial beroperasi seperti biasa.

"Kami juga akan pastikan, kakitangan IWK bersedia berkhidmat dalam memastikan sistem kumbahan di premis komersial tidak terganggu dan berjalan seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, IWK juga tekad untuk bersama membantu negara dalam usaha pemulihan ini dengan memastikan aspirasi pembangunan negara dapat dilaksanakan secara mampan terutama dalam usaha pemuliharaan ekosistem alam sekitar.

Untuk itu, katanya, beberapa inisiatif dijalankan dalam usaha untuk merancakkan aktiviti ekonomi dapat dijalankan.

"Ini termasuk, pembangunan perniagaan Air Pulih Guna bagi tujuan industri bukan makanan iaitu dengan membolehkan pengilang mendapat sumber air alternatif.

"Dengan sokongan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), IWK akan menggerakkan inisiatif ini bersama pemain industri lain terutama operator air negeri.

"Jumlah pelaburan bagi inisiatif ini akan melalui beberapa fasa pembangunan dan sebagai permulaan akan merangkumi kira-kira RM20 juta pada fasa pertama mulai tahun ini dan dijangka fasa seterusnya dalam tempoh lima tahun adalah sebanyak RM600 juta," katanya.

Di samping itu, Narendran berkata, pembangunan perniagaan bukan teras IWK seperti pembinaan menara telekomunikasi di loji-loji rawatan kumbahan serta pembinaan panel solar, serta projek biopepejal dan biogas juga dapat menghasilkan peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

"Selaras dengan peraturan perkhidmatan nyahenap cemar secara berjadual, IWK juga sedang dalam proses untuk bekerjasama dengan sejumlah 67 syarikat pemegang Permit-E Span yang juga syarikat tempatan.

"Malah, projek penambahbaikan loji rawatan kumbahan kepada Para 1 mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 dan penambahbaikan aset-aset yang berisiko, melalui dana Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (KWSMP) SPAN, dapat membuka peluang perniagaan kepada kontraktor tempatan dan semua projek ini sedang dijalankan sehingga tahun hadapan.

"Melalui program pembangunan vendor ini, IWK yakin dapat membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk bersama berusaha memelihara alam sekitar, di samping memulihkan negara sebagaimana yang direncanakan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 7:01 AM