MOHD Arifin menyampaikan sumbangan pendidikan kepada salah seorang penerima sumbangan bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Sabah
MOHD Arifin menyampaikan sumbangan pendidikan kepada salah seorang penerima sumbangan bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri komited dalam usaha memperkasakan industri halal di Sabah dan tidak pernah mengabaikan aspek halalan toyyiban.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, mana-mana pihak atau individu yang mempunyai sebarang kekeliruan berkaitan makanan halalan toyyiban diminta merujuk kepada agensi atau jabatan berkaitan di negeri itu.

"Kalau (produk makanan di Sabah) mempunyai logo halal ertinya ia adalah halal. Kita perlu berhati-hati dalam hal ini.

"Apa-apa masalah atau kekeliruan harus merujuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), JHEAINS (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kita juga ada Majlis Halal Sabah (Mahas), Jawatankuasa Halal Sabah yang saya pengerusikan sendiri dan MUIS Halal Hub. Kita bersama Jakim sentiasa memastikan halalan toyyiban ini diperkasakan di negeri Sabah.

"Setakat ini, tidak ada masalah (isu kesukaran mendapat makanan halal) dari semasa ke semasa kerana kita sentiasa memantau perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Amanat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Penyampaian Bantuan Pendidikan bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Baru-baru ini, satu video tular di media sosial dengan seorang lelaki mendakwa bahawa makanan halalan toyyiban amat sukar dicari di Sabah.

Mengambil maklum mengenai dakwaan itu, Mohd Arifin menafikan perkara terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 2:12 PM