Persijilan halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh menggantikan fungsi sistem penggredan.
Persijilan halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh menggantikan fungsi sistem penggredan.
Mohd Izham Unnip Abdullah


Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) mencadangkan supaya persijilan halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) digunakan bagi menggantikan sistem penggredan tahap kebersihan premis makanan di Sabah.

Presidennya, Nordin Thani, berkata, pendekatan itu boleh diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha meningkatkan tahap kebersihan premis makanan khususnya milik peniaga Islam berikutan banyak premis dilihat memaparkan gred tidak memuaskan.

Katanya, pendekatan baharu itu juga wajar dilaksanakan terhadap premis makanan yang dimiliki peniaga Islam memandangkan kebanyakan premis milik orang Islam di Sabah ketika ini tiada persijilan halal.

“Alasan bahawa sebagai peniaga Islam tidak memerlukan persijilan halal tidak boleh diterima kerana sijil halal bukan hanya merujuk kepada isu halal makanan semata-mata, malah ia turut merangkumi aspek kebersihan dan kesihatan.

“CFOS mendapati banyak premis makanan orang Islam kurang tahap kebersihan, jadi memang sesuai jika PBT mewujudkan peraturan baharu mewajibkan persijilan halal kepada premis Islam supaya ia bukan saja halal, malah terjamin kebersihannya,” katanya mengulas isu persijilan halal yang kurang diberi perhatian oleh peniaga Islam di negeri ini.

Katanya, sebagai pengguna, sijil dan logo halal penting dijadikan panduan bukan saja untuk memilih premis yang halal dari segi makanan yang disajikan, malah memiliki tahap kebersihan yang memuaskan.

Nordin berkata, persijilan halal hanya diluluskan apabila premis memenuhi piawaian ditetapkan dalam semua aspek pengendalian premis bukan hanya makanan, malah turut merangkumi aspek kebersihan.

“Kalau ada sijil halal tidak perlu lagi sistem penggredan A, B, C atau D yang digunakan PBT ketika ini kerana sijil dan logo halal di sesebuah premis sudah cukup untuk menggambarkan tahap kebersihannya.

“Premis makanan milik bukan Islam khususnya yang menjual makanan halal juga perlu digalakkan memohon persijilan halal. Ia secara tidak langsung memudahkan PBT kerana tidak perlu melakukan penilaian lain bagi menentukan gred kebersihan premis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 1:06 PM